Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 27 DISEMBER 2023 : Seramai 74 orang mangsa banjir daripada 21 buah keluarga berada di tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 10 pagi ini.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang, kesemua mangsa terbabit adalah dari daerah Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Sebanyak 10 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Raub telah ditutup sepenuhnya pagi ini dan Kuantan merupakan daerah baru terlibat banjir.
Seramai 47 orang mangsa dari 16 buah keluarga di daerah Kuantan ditempatkan di PPS SK Fakeh Abdul Samad manakala 18 orang mangsa daripada tiga buah keluarga dari daerah Jerantut ditempatkan di SK Teh dan sembilan orang mangsa dari dua buah keluarga berada di Balairaya Kampung Lentang, Lipis.
Setakat pagi ini juga, sembilan buah sungai direkodkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tanum di jambatan Chegar Perah Lipis, Sungai Tembeling Jerantut di tiga buah kampung iaitu Kampung Bantal Seberang, Kuala Tahan dan Kampung Merting serta Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran.
Sementara itu empat lagi kawasan melibatkan Sungai Pahang iaitu Kuala Sungai Chini dan Paloh Hinai di Pekan selain Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat serta Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia di Rompin. – PAHANGMEDIA

