Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 26 DISEMBER 2023 : Seramai 698 mangsa banjir daripada 170 keluarga telah dipindahkan ke 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 12 tengahari tadi.
Menurut laporan daripada Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pahang, kesemua 698 mangsa terbabit adalah dari daerah Raub dan Lipis.
Sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dengan sembilan PPS di Daerah Raub manakala lima PPS di Lipis.
Di Raub jumlah mangsa banjir meningkat kepada 463 orang daripada 118 keluarga.
Daripada jumlah itu, seramai 65 mangsa banjir daripada 16 keluarga ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Pamah Kulat, di PPS Rumah Pertanian Kampung Pamah Rawas menempatkan 107 orang daripada 29 keluarga dan PPS Surau Kampung Peruas menempatkan 81 orang daripada 18 keluarga.
Manakala PPS Balairaya Kampung Pamah Rawas pula kini menempatkan 20 mangsa daripada empat keluarga, PPS Dewan Lechar menempatkan 65 mangsa daripada 13 keluarga dan PPS Dewan Orang Ramai Bukit Pampong pula menempatkan 51 mangsa daripada 13 keluarga.
Seramai 17 mangsa daripada lapan keluarga pula dipindahkan ke PPS Balairaya Kampung Kuala Keloi, PPS Dewan Kampung Kuala Gali pula menempatkan 37 mangsa daripada 10 keluarga dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Pia pula menempatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga.
Manakala PPS Dewan Dato Seriwa Dong pula telah ditutup sepenuhnya pada hari ini.
Bagi Daerah Lipis pula, jumlah mangsa meningkat kepada 235 orang daripada 52 keluarga berbanding semalam.
Kesemua mereka telah dipindahkan ke lima PPS dengan PPS Dewan Orang Ramai Kuala Serau menempatkan 21 mangsa daripada enam keluarga dan PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Orang Ramai Kuala Medang menempatkan 146 mangsa daripada 30 keluarga.
Manakala seramai 37 mangsa daripada enam keluarga telah dipindahkan ke PPS Masjid Bertang, PPS SK Kechau Tui pula menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga dan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kota menempatkan 21 mangsa daripada lapan keluarga.
Sehingga kini, lima sungai direkodkan berada di paras bahaya iaitu Sungai Tembeling, Kampung Bantal Seberang di Jerantut, Sungai Luit, Kampung Subuh di Maran, Sungai Pahang, Kuala Sungai Chini di Pekan serta Sungai Pukin dan Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia di Rompin. – PAHANGMEDIA

