Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 27 DISEMEBER 2023 : Kerajaan Pahang menambah 50 lokasi baharu bagi melaksanakan inisiatif Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) Fasa 2 di negeri ini pada tahun hadapan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata penambahan lokasi ini bagi memastikan rakyat di negeri ini terutama kawasan pedalaman mempunyai capaian internet.
“Inisiatif Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) ini berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat negeri Pahang, dari Cameron Highlands ke Rompin, untuk memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.
“Antaranya, ia merangkumi untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan usahawan berpendapatan tinggi melalui perniagaan atas talian, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan komunikasi ke lokasi terpencil.

“Sebagai Kerajaan yang prihatin dan responsif terhadap cabaran ini, maka pada hari ini, saya berbesar hati ingin memaklumkan bahawa inisiatif PRISMA ini telah dilaksanakan di 50 lokasi yang mempunyai masalah capaian internet dengan peruntukan belanjawan tahun 2022 sebanyak RM3 juta. Inisiatif ini telah pun memberi manfaat internet lebih daripada 3,000 pengguna di seluruh Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Pahang Rural Internet Services & Multimedia Access (PRISMA) di Hotel Zenith di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif PRISMA yang bersifat sementara ini diwujudkan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan PahangGo sehinggalah projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang kekal dan mempunyai capaian lebih baik dan stabil di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia siap dilaksanakan sepenuhnya.
“Suka saya kongsikan bahawa inisiatif PRISMA ini menggunakan teknologi High Throughput Satellite bagi menyediakan capaian internet ke 50 lokasi terpilih, dengan kelajuan 15 Mbps dan tiada had data, pastinya memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk melayari internet, berkomunikasi secara maya, membeli-belah atau berniaga.
“…ini juga adalah selari dengan Keberhasilan Utama Ekosistem Digital yang telah digariskan di dalam Pelan Digital Pahang 2021-2025 iaitu “Mewujudkan ekosistem digital yang kondusif dan saling berintegrasi di antara kerajaan, rakyat dan industri bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan memangkin ekonomi Negeri Pahang,” katanya.
Menurut beliau, 24 lokasi daripada 50 lokasi fasa 1 PRISMA telah pun dihentikan perkhidmatannya berikutan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan berkenaan telah selesai dan boleh digunakan. -PAHANGMEDIA

