Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 DISEMBER 2023 : Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 bakal melengkapkan lagi kecemerlangan Kuantan sebagai sebuah bandar yang memiliki pelbagai kemudahan asas utama.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelbagai usaha dilakukan semaksima mungkin oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat dan negeri ini berada dalam keadaan makmur dan sejahtera.
“Bagi memajukan negara atau negeri, pertama sekali kita mesti pastikan kemudahan asas berada pada tahap paling bagus. Kita di Pahang ini ada jaringan lebuh raya, ECRL bagi penumpang dan kargo, pelabuhan dan lapangan terbang sendiri.
“Jadi infrastruktur di Kuantan akan lengkap dan boleh menarik lebih ramai pelabur domestik dan antarabangsa untuk melabur di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis sumbangan replika cek dan kerjasama strategik bagi penubuhan Pusat Latihan Rel UMPSA yang disampaikan Presiden Liuzhou Railway Vocational Technical College, Encik Qin Haibo kepada Naib Canselor UMPSA, Profesor Datoβ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, DatoβSeri Abdul Razak Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datoβ Seri Haji Darwis Abdul Razak, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Guangxi Zhang China, Wu Jinchang dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Prof Ir. Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman.
Sementara itu mengulas lanjut berkenaan kerja-kerja pembinaan rel yang berlangsung, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata pihaknya berpuas hati walaupun ada sedikit kelewatan tapi boleh dipercepatkan mengikut jadual.
“Projek ini mewujudkan peluang pekerjaan dan penubuhan Pusat Latihan Rel di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkaitan kepakaran TVET boleh beri peluang kerja kepada anak-anak kita.
“Ini (Pusat Latihan Rel) adalah yang pertama di negeri ini dan dapat peruntukan daripada Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC) di mana mereka sudah ada institut di sana dan kita akan bekerjasama dengan mereka agar anak-anak tempatan kita dapat latihan secukupnya dalam bidang railway (landasan rel),” katanya. -PAHANGMEDIA

