Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 DISEMBER 2023 : Penubuhan Pusat Latihan Rel Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima peruntukan sebanyak RM5.6 juta dari Liuzhou Railway Vocational Technical College (LZRVTC).
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, pusat latihan yang bakal menerima sekitar 2,000 pelajar lepasan diploma dan ke bawah akan menumpukan kepada agenda pemerkasaan bidang kejuruteraan dan teknologi rel serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasion (TVET) negara.
“UMPSA juga mempunyai kolaborasi dengan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) dalam Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL) yang bermula pada tahun 2017 hingga 2022 dan disambung untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2027.
“Malahan UMPSA turut berkolaborasi dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) China bagi Program Ijazah Dual membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal yang menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara sejak tahun 2020.
“Seramai 75 pelajar yang mengikuti program terbabit mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ” katanya.
pada sidang media selepas menerima sumbangan replika cek dan kerjasama strategik bagi penubuhan Pusat Latihan Rel UMPSA yang disampaikan Presiden Liuzhou Railway Vocational Technical College, Mr. Qin Haibo dengan disaksikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di tapak stesen ECRL Seksyen 10, Gebeng, di sini.
Turut sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Dato’ Seri Haji Darwis Abdul Razak dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Guangxi Zhang China, Wu Jinchang.
Dalam pada itu Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, kolaborasi berkenaan juga memberi peluang kedua-dua pihak meneroka potensi dalam projek ECRL.
“Antaranya penyediaan modul latihan pengoperasian dan penyelenggaraan rel serta kerjasama akademik dalam bentuk pensijilan terbuka dalam bidang ini sebagai nilai tambah terhadap keboleh pasaran graduan bergaji premium,“ katanya.
Pihak China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. (CCCC) merupakan kontraktor utama kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan projek bagi projek East Coast Rail Link (ECRL) dan LZRVTC, Guangxi, China menjalankan latihan TVET untuk tenaga kerja ECRL yang merupakan projek milik pihak MRL. -PAHANGMEDIA

