Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 DISEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pemasangan landasan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang pertama di tapak Stesen ECRL Seksyen 10, Gebeng hari ini.
Baginda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tiba di tapak berkenaan pada jam 11 pagi.
Turut mengiringi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook; Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud dan YAB Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaakob; Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC), Encik Wang Tongzhou serta kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Dalam pada itu, YB Anthony Loke dalam persembahan ucapannya berkata Tapak Projek ECRL di Kuantan Port City (KPC) ini merupakan titik permulaan bagi pelaksanaan pemasangan landasan ECRL memandangkan proses pengilangan peralatan dan komponen-komponen landasan bertempat di sini.
“Tapak ini juga menempatkan pusat kawalan ‘Construction Railway Operation Control Centre’ (CROCC) bagi memantau kerja-kerja pemasangan landasan ECRL serta depot kereta api ECRL pada masa akan datang.

“Justeru, kerja-kerja pemasangan landasan pertama ECRL dari KPC menghala ke Dungun, Terengganu yang melibatkan jarak 94 kilometer akan dilaksanakan dengan mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ buatan CRRC Yangtze Co. Ltd. Ia mampu mengendali pemasangan jalur rel secara purata sejauh 1.5 kilometer sehari,” katanya.
Menurutnya, Projek ECRL telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 56.35 peratus setakat November lalu selari dengan jadual tarikh penyiapan projek dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.
Projek ECRL ini juga telah menetapkan pembinaan sebanyak 40 buah terowong dengan jumlah panjang melebihi 60 kilometer di sepanjang jajaran relnya bagi mengelak gangguan kepada hidupan liar dan mengurangkan penebangan hutan simpan. – PAHANGMEDIA

