Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 11 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang melahirkan komitmen bagi memperkasakan golongan belia terutamanya usahawan muda.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ini sebagai tanda Kerajaan Negeri Pahang dalam menyokong ekonomi golongan muda.
“Saya rasa Kerajaan Negeri perlu bagi tumpuan, satu soal minat anak muda; yang kedua, kecenderungan mereka melakukan program sebegini; dan yang paling penting adalah soal ekonomi dan perniagaan anak muda.

“Yang mana saya rasa Kerajaan Negeri perlu prihatin, ambil tahu, dan sokong. Dan saya dah nyatakan komitmen kepada mereka untuk Kerajaan Negeri bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa hampir 4 jam melawat dan bertemu para usahawan muda di Monsoon Camp di Teluk Cempedak.
Tambah beliau lagi, satu program pertemuan santai bersama usahawan muda akan dijalankan bagi mendekati dan mengambil tahu isu dan masalah serta bantuan yang boleh diberikan kepada golongan ini.
“Selepas ini boleh anjur satu perjumpaan santai dengan peniaga di kalangan anak muda supaya saya lebih faham, saya lebih sedar, sekaligus saya boleh bawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi untuk pengetahuan pihak Kerajaan.
“Bantuan yang kita akan berikan, pertamanya adalah menyokong aktiviti, pelaksanaan aktiviti seperti ini; yang kedua, dari segi kemahuan mereka menceburi perniagaan dan saya rasa Kerajaan Negeri perlu sokong,” katanya.

Beliau berkata bagi menyokong usahawan muda ini berniaga dan melakukan aktiviti pihak berwajib juga perlu memberikan sokongan kepada mereka.
“Saya tengok, saya perlu bantu mereka untuk macam-macam isu yang dihadapi berkaitan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan mereka (PBT) juga perlu support.
“Sebab anak muda ini kita tak boleh layan macam orang yang dah lama berniaga, anak muda ini kena pendekatan lain sedikit kerana dia baru ceburi bidang perniagaan.
“Dari segi kadar yang dikenakan pun kita perlu lihat kesesuaian. Jangan kita bunuh niat anak muda ini, kita kena dengar keperluan mereka, tak boleh sama rata orang yang baru berniaga dengan yang sudah 10, 20 tahun berniaga. Ini yang Kerajaan Negeri perlu ambil peduli,” katanya. -PAHANGMEDIA

