Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri turut memberi perhatian dan peruntukan khusus bagi penyediaan serta usaha menaiktaraf kemudahan asas dan infrastruktur bagi keselesaan rakyat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia dibuktikan melalui peruntukan sebanyak RM301.29 juta bagi projek berkaitan melalui jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri.
“Infrastruktur dan kemudahan asas di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Negeri Pahang adalah meliputi projek sambungan dan baharu untuk dilaksanakan dan menjadi pemangkin pembangunan dan seterusnya ekonomi negeri Pahang.
“Bagi perkhidmatan bekalan air pula, Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), dari 2018 hingga 2023, telah menyiapkan 226 bilangan projek dengan peruntukan sebanyak RM275.1 juta termasuk projek pembinaan Loji Rawatan Air Karak Fasa 2 yang telah menyelesaikan masalah tekanan air di sekitar Karak termasuk Lanchang, kerja penggantian pam di muka sauk Rumah Pam Kobat dan kerja menaik taraf Loji Rawatan Sungai Jelai.
“PAIP juga sedang giat melaksanakan pelbagai projek dalam pembinaan secara berterusan di seluruh negeri di mana sehingga hari ini, sejumlah 37 bilangan projek dengan kos keseluruhan RM465 juta sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menjelas lanjut berkenaan usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada tujuh langkah utama.
“Antara langkah ialah usaha menyelesaikan masalah kekurangan rizab margin bekalan air serta memastikan kestabilan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA), mengatasi masalah putus bekalan dan tekanan air yang rendah serta mengatasi masalah kekerapan paip pecah yang menyumbang kepada kadar kehilangan air atau Air Tidak Terhasil (Non Revenue Water – NRW) dengan sasaran sebanyak 46 peratus pada tahun hadapan berbanding tahun ini iaitu sebanyak 47.86 peratus.
“Selain itu PAIP akan berusaha menyelesaikan masalah kekeruhan air, menjamin sumber air mentah yang berterusan, meluaskan kawasan liputan bekalan air luar bandar serta memastikan bekalan air stabil di Kawasan Perindustrian Gebeng,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan 299 Projek Bekalan Air termasuk mengatasi masalah putus bekalan dan tekanan air rendah termasuk 79 projek yang telah disenaraikan.
Justeru katanya, secara keseluruhannya sebanyak RM129. 3 juta peruntukkan pada tahun hadapan bagi memastikan projek bekalan air dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebagaimana dirancang dan yang sedang berjalan. -PAHANGMEDIA