Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM4.258 juta bagi pelaksanaan program melibatkan kesejahteraan dan kesihatan rakyat di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesejahteraan dan kesihatan rakyat merupakan salah satu agenda yang termasuk dalam tumpuan Kerajaan Negeri pada tahun 2024.
“Kesejahteraan dan kesihatan rakyat adalah salah satu agenda yang termasuk dalam tumpuan Kerajaan Negeri pada tahun 2024 dengan pelaksanaan Program Komuniti Sihat Pembina Negara dan Karnival Kekal Sihat COMBI KOSPEN Negeri Pahang (KOSPEN) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang turut menyediakan lima inisiatif dan bantuan kepada rakyat negeri ini.
“Pertama, Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang akan memberi manfaat kepada seramai 7,712 orang penerima bantuan daripada kalangan warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) dengan kerjasama Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) dan Gabungan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (GPSK) dengan peruntukan sebanyak RM 2.058 juta.
“Kedua, pemberian secara one-off kepada penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dengan jumlah sebanyak RM500 kepada seramai 300 orang penyelia dan petugas PPDK bagi tujuan menghargai sumbangan yang telah diberikan kepada golongan OKU dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM150,000; ketiga, pemberian bantuan secara one-off kepada pelatih OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dengan peruntukan sebanyak RM300,000.
“Keempat, Sambutan Hari Kebajikan yang menggabungkan sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU), Hari Warga Emas dan Hari Kanak-kanak di bawah satu program yang sama melalui peruntukan sebanyak RM250,000; dan kelima, pelaksanaan penanda aras premis mesra OKU dengan tujuan untuk mengiktiraf kemudahan mesra OKU dengan peruntukan sebanyak RM500,000,” katanya.
Rakyat sihat, negeri sejahtera ini digariskan dibawah Tunjang Kelima iaitu Memperteguh Kemakmuran Negeri dan Rakyat. -PAHANGMEDIA