Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang sebulat suara meluluskan usul menyatakan solidariti untuk rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman pengganas zionis Israel.
Usul yang dikemukakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad susulan pembunuhan berterusan terhadap rakyat di Gaza.
Bagaimanapun usul itu telah dibahaskan dan di sokong ADUN Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan ADUN Jengka, YB Tuan Shahril Azman Abd Halim sebelum ia dilulus sebulat suara.
Sementara itu, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantahan ini juga susulan tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat gagal mengekang serangan berterusan rejim zionis.
Tegasnya, usul itu dibuat bagi membuktikan kekejaman yang dilakukan mendapat wakil rakyat di negeri ini, selain penyaluran bantuan kewangan.
“Tahun lepas kita (agihkan) RM700,000, tahun ini kita bagi RM1 juta. Insya-Allah akan sampai kepada Palestin dan kita ada syarat serta ada peraturan tentu.
“Jadi, kita akan serah sendiri sumbangan k kepada negara palestin dan kita tidak melalui orang tengah. Satu usul (Palestin) akan kemukakan di DUN dan ini jelas membantah serangan Israel kepada Palestin itu tujuan kita,” katanya.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, setakat ini sebanyak RM700,000 berjaya dikumpulkan melalui Tabung Palestin 2.0. – PAHANGMEDIA