Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Hasuzila Hashim
LIPIS, 22 OKTOBER 2026 : Seramai 1,288 peserta terdiri daripada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai Program Jelajah Pahang 1st Pendidikan Tinggi dan TVET MARA 2026 Peringkat Daerah Lipis dan Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran golongan muda mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta kepentingan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam membina masa depan kerjaya yang lebih terjamin.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, program jelajah itu akan diteruskan di lapan lokasi lain di seluruh negeri sebelum kemuncaknya di peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung secara besar-besaran di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Menurutnya, penganjuran program itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan golongan muda mendapat maklumat dan pendedahan sewajarnya bagi membuat pilihan pendidikan yang bersesuaian dengan minat serta kemampuan masing-masing.

“Anak-anak muda hari ini merupakan aset penting kepada Kerajaan Negeri Pahang dan generasi pelapis yang akan meneruskan kepimpinan negeri pada masa hadapan.
“Justeru, program seperti ini penting untuk memberikan kefahaman, meningkatkan kesedaran dan membantu mereka menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YH Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dato’ Haji Dusuki; Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), YH Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail bin Hj. Mohammed Said serta barisan pimpinan setempat.
Tambahnya, pelajar lepasan SPM dan STPM perlu merebut peluang melanjutkan pengajian sama ada melalui laluan akademik di IPT atau bidang kemahiran menerusi TVET, selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.

Katanya lagi, penguasaan ilmu dan kemahiran merupakan antara faktor penting bagi membolehkan golongan muda meningkatkan kebolehpasaran diri serta bersaing dalam dunia pekerjaan.
“Kita tidak mahu anak-anak muda hanya menyedari kepentingan pendidikan apabila sudah memasuki alam pekerjaan dan berkeluarga, sedangkan peluang untuk merancang masa depan sepatutnya dimanfaatkan sejak awal,” katanya.
Beliau juga berkata, pembangunan negeri juga perlu bergerak seiring dengan peningkatan kualiti hidup rakyat dan pembinaan masa depan generasi muda menerusi aspirasi Pahang 1st.
Ujarnya, kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, MARA, Yayasan Pelajaran MARA, institusi pendidikan, pihak industri, ibu bapa dan masyarakat penting bagi memastikan lebih ramai anak Pahang mendapat akses kepada peluang pendidikan dan latihan yang berkualiti.
Beliau berharap program jelajah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta pembangunan negeri. -PAHANGMEDIA

