Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM8.49 juta bagi memperluaskan penggunaan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri Pahang akan meningkatkan keupayaan pemantapan infrastruktur ICT bagi pelaksanaan perkhidmatan dalam talian bagi agensi kerajaan.
“Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri akan meneruskan agenda pemantapan infrastruktur ICT bagi pelaksanaan perkhidmatan dalam talian agensi kerajaan dengan meningkatkan keupayaan infrastruktur ICT di 14 buah Pejabat Agama Islam Daerah dan 18 buah Sekolah Menengah Agama Negeri untuk penambahbaikan pelaksanaan Sistem Maklumat Perkahwinan Islam Pahang (e- Munakahat) dan Sistem Pengurusan Sekolah Menengah Agama (SPSMA) dengan peruntukan sebanyak RM200,000.
“Bagi menjamin kelestarian perkhidmatan rangkaian pula, peruntukan sejumlah RM300,000 akan disediakan untuk membolehkan kerja menaiktaraf rangkaian 1PahangNet dilakukan dan persediaan perpindahan ke Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang akan membangunkan infrastruktur ICT dan pangkalan data yang bersepadu melalui jabatan dan agensi negeri bagi memastikan kombinasi gerak kerja yang efektif, efisien, dan memenuhi keperluan rakyat.
“Kerajaan Negeri bersetuju memberikan peruntukan bagi inisiatif- inisiatif berikut, pertama, menaiktaraf sistem e-Rakyat dengan mewujudkan pangkalan data yang bersepadu dengan peruntukan sebanyak RM100,000; kedua, memantapkan keselamatan infrastruktur ICT dengan pelaksanaan Security Posture Assessment (SPA) terhadap kemudahan ICT di Pejabat SUK Pahang dengan peruntukan sebanyak RM120,000.
“Ketiga, melaksanakan penggantian perisian dan peralatan ICT yang usang di semua jabatan Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM7.27 juta; dan keempat, pembangunan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dengan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi memantapkan sistem kesiapsiagaan bencana, mengenalpasti zon berisiko tinggi, menilai kelemahan dan membangunkan pelan pengurusan bencana lebih berkesan,” katanya. -PAHANGMEDIA