Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM5 juta bagi penganjuran Karnival Makmur di setiap daerah di negeri ini pada tahun hadapan.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM100,000 kepada mereka yang berkongsi karya berkaitan Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri berhasrat untuk menganjurkan Karnival Makmur di setiap daerah dengan pelbagai karnival yang akan diadakan bersekali, seperti Karnival Tanah Pahang, Karnival Buah-Buahan dan program-program turun padang dengan peruntukan RM5 juta pada tahun 2024.
“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dalam menghargai bakat-bakat kreatif tempatan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi program Karya Anak Pahang sebagai satu insentif kepada orang ramai yang berkongsi karya berkaitan negeri Pahang dan seterusnya bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya kreatif di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang turut komited dalam pembangunan bandar secara terancang melalui Penggantian Rancangan Tempatan Daerah.
“Kerajaan Negeri komited dalam memberi tumpuan kepada pembangunan bandar yang terancang dan dilaksanakan secara teratur ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi khususnya dengan berpandukan kepada Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Daerah dan Rancangan Kawasan Khas.
“Penggantian Rancangan Tempatan Daerah ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta hala tuju Rancangan Struktur Negeri Pahang dan Rancangan Fizikal Negara Ketiga.
“Selaras dengan keperluan pembangunan masa kini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM328,000 bagi tujuan penyediaan empat Rancangan Tempatan Daerah iaitu pertama, Rancangan Tempatan Daerah Maran 2035 (Penggantian); kedua, Rancangan Tempatan Daerah Bera 2035 (Penggantian); ketiga, Rancangan Tempatan Daerah Rompin 2035 (Penggantian); dan keempat, Rancangan Tempatan Daerah Lipis 2035 (Penggantian),” katanya. -PAHANGMEDIA