Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 04 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukan RM4.85 juta bagi memastikan kelestarian biodiversiti alam sekitar di negeri Pahang melibatkan penyelidikan serta pelbagai aktiviti lain.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan perkara ini dalam Tunjang Ketiga yang memfokuskan kepada Memperkasa Tadbir Urus dan Penyampaian Perkhidmatan.
“Sebanyak RM150,000 diperuntukkan untuk sepuluh kajian melibatkan Taman Negeri Rompin dan sebanyak RM75,000 lagi untuk lima kajian di Lubuk Yu, Maran dengan menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM225,000 menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Hutan.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Pahang dengan pelaksanaan aktiviti seperti seminar dan aktiviti tanaman bersama agensi kerajaan, swasta, NGO, institut pendidikan awam, swasta dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Pahang pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga memperuntukan RM150,000 bagi melaksanakan Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Mossy Forest.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan kepada Perbadanan Taman Negeri Pahang bagi pelaksanaan empat inisiatif melibatkan kajian dan aktiviti.
“Pertama, pelaksanaan kajian pewartaan dan pembangunan tapak di bawah Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan peruntukan sebanyak RM500,000; kedua, pelaksanaan kajian pewartaan dan pembangunan Taman Negeri dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
“Ketiga, melaksanakan kajian kebolehlaksanaan Projek Tiny House Ekopelancongan Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM250,000; dan keempat, mengadakan pertandingan rock climbing dan karnival speleologi bagi peminat sukan rock climbing di peringkat kebangsaan dengan peruntukan sebanyak RM500,000,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Pahang turut mengambil langkah proaktif bagi melindungi khazanah hutan negeri merupakan hutan terbesar di Semenanjung Malaysia melalui beberapa inisiatif.
“Pertama, pelaksanaan Program Pendidikan Biodiversiti Mossy Forest Highlands 360 Degree Tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM500,000; kedua, pelaksanaan Ekspedisi Penyelidikan dan Pembangunan Biodiversiti Negeri Pahang bagi mengenal pasti potensi habitat dan spesies bagi tujuan Bio-Ekonomi, Bio-Pelancongan dan program konservasi yang diperlukan dengan peruntukan sebanyak RM400,000.
“Ketiga, melaksanakan Fasa 1 Projek Pembangunan Pusat Pangkalan Data Sumber Biodiversiti Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM380,000; dan keempat, mengadakan Projek Penilaian Biodiversiti Berperingkat untuk Rizab Harimau Al-Sultan Abdullah dengan peruntukan sebanyak RM450,000,” katanya. -PAHANGMEDIA

