Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim & Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.137 bilion pada tahun hadapan sekaligus menjadi unjuran paling tinggi dalam sejarah dengan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding Belanjawan Tahun 2023.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan RM1.125 bilion akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus yang merangkumi perbelanjaan Emolumen, Perkhidmatan dan Bekalan, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap serta Perbelanjaan Lain dan Aset dengan peningkatan sebanyak RM54 juta atau 5.04 peratus berbanding tahun 2023.
“Bagi Perbelanjaan Pembangunan, peruntukan yang akan disediakan adalah sebanyak RM301.29 juta di mana jumlah tersebut merangkumi projek infrastruktur sebanyak RM171.98 juta dengan pembiayaan secara langsung manakala RM129.3 juta atau bersamaan 42.92 peratus adalah daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2024 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.836 bilion pada tahun lalu untuk 511 projek termasuk kelulusan lima projek utama.
“Antaranya adalah pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan kos RM480 juta dan pembinaan persimpangan bertingkat Panching, Jalan Kuala Lumpur Kuantan (FT02) dengan kos RM160 juta.
“Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri bakal menerima peruntukan sebanyak RM3.197 bilion melibatkan 520 projek daripada pelbagai kementerian iaitu kenaikan sebanyak 12.7 peratus berbanding tahun 2023,” katanya.
Justeru itu katanya, Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam usaha menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju.
Pelaksanaan projek-projek mega untuk menaiktaraf jaringan pengangkutan seperti Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kuantan akan menjadikan negeri ini sebagai gerbang pelaburan ke pantai timur Semenanjung Malaysia. – PAHANGMEDIA

