Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 4 DISEMBER 2023 : Kerajaan Pahang menganjurkan pelbagai langkah dan usaha bagi membendung kes keganasan rumah tangga termasuklah menyertai aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pencegahan dan pemulihan.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata, pencegahan itu dilaksanakan dengan mengadakan kempen kesedaran keganasan rumah tangga menggunakan platform ceramah, forum, hebahan, pameran dan pamplet.
“Talian kasih iaitu 15999 juga adalah salah satu insiatif Kerajaan bagi memudahkan mangsa keganasan rumah tangga melaporkan kejadian tersebut.
“Di samping itu, rawatan dan pemulihan yang dilakukan oleh Kerajaan adalah menjalani sesi kaunseling bagi membantu mangsa kembali pulih dari segi emosi, fizikal dan fisiologinya dan kaunselor ini boleh didapati di PDRM, JKM dan hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Mentakab, YB. Tuan Woo Chee Wan pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat sebanyak 131 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Pahang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan daerah Kuantan mencatatkan kes paling tinggi iaitu sebanyak 41, diikuti 15 kes di Maran.
“Bagi daerah Temerloh pula sebanyak 13 kes; Rompin (11 kes), Jerantut (12 kes), Bera dan Bentong masing-masing 10 kes. Seterusnya sebanyak tujuh kes di Pekan, enam pula Kuala Lipis kes dan Raub lima manakal Cameron Highlands hanya satu kes sahaja,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan 384 laporan polis diterima sepanjang 2022 sehingga Jun tahun ini, antara faktor yang menyebabkan terjadinya keganasan rumahtangga adalah membabitkan perselisihan faham antara suami isteri dengan 296 kes.
“Masalah kewangan 38 kes; masalah anak pula sebanyak sembilan kes, lima kes cemburu, mabuk (13 kes) manakala masing dua kes perebutan harta dan perebutan anak, proses penceraian (satu kes) manakal masalah keluarga (5 kes) sertapenyalahgunaan dadah adalah sebanyak 13 kes direkodkan,” katanya. – PAHANGMEDIA