Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 30 NOVEMBER 2023 : Seramai 800 pemandu bot pelancong dan malim gunung menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi kluster pemandu bot pelancong dan malim gunung dengan jumlah keseluruhan RM160,000.
BPP ini juga merupakan bantuan tahunan kepada penggerak sektor pelancongan di Pahang sebagai galakan kepada mereka bagi meningkatkan produktiviti membabitkan sektor berkenaan.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man berkata, pengagihan akan bermula hari ini (30 November 2023) sehingga penghujung Disember 2023 melibatkan seluruh daerah di Negeri Pahang.
“Bantuan Prihatin Pahang (BPP) ini serba sedikit dapat membantu meringankan beban kepada pemandu bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong dan secara tidak langsung memberi suntikan motivasi kepada mereka dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Beliau sebelum itu telah menyampaikan BPP Kluster Pemandu Bot Pelancong dan Malim Gunung bagi daerah Bera dan Temerloh yang diadakan di Hotel Sri Bera, Triang di Bera.
Pada majlis itu, seramai 32 pengusaha pemandu bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong telah menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan RM6,400.
Pada tahun ini, seramai 439 pemandu bot pelancong, malim gunung dan pemandu pelancong dari daerah Jerantut menerima BPP, 22 orang bagi Temerloh dan 19 orang di daerah Lipis.
Manakala Daerah Raub seramai 15 orang, 91 orang di Daerah Kuantan, 22 orang di Bentong, Cameron Highlands seramai 14 orang, Bera seramai 10 orang, 159 orang di daerah Rompin, empat dari Pekan dan lima orang bagi daerah Maran. – PAHANGMEDIA

