Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 NOVEMBER 2023: “Syukur Alhamdulillah perasaan gembira tak tahu nak gambarkan macam mana, memang gembira sangat, memang sudah lama nak ada rumah sendiri, saya dah lama duduk menyewa, bila dapat rumah sendiri lepas (beban) menyewa.”
Itu luah seorang penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP), Puan Normah Mohamad, 48, di Kampung Pandan di sini.
Menurutnya, beliau tidak menyangka akan menerima sebuah rumah RRP yang diberi secara percuma selepas 26 tahun menyewa bersama keluarganya.
Beliau yang kini menyewa sebuah rumah di Kampung Baru Cendering berjumlah RM250 sebulan juga turut menzahirkan rasa teruja kerana keinginannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.

“Kalau boleh nak juga merasa (duduk) di rumah sendiri, sebab dah lama mohon tanah tapi belum dapat, tapi saya cuba lagi sekali, Alhamdulillah akhirnya dapat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Jelasnya lagi, beliau menganggap rumah RRP sumbangan Kerajaan Negeri Pahang itu sebagai hadiah yang tidak ternilai memandangkan beliau merupakan seorang ibu kepada lapan orang anak dan bekerja sebagai pembuat kuih serta tidak mempunyai pendapatan tetap, manakala suaminya telah meninggal dunia pada tahun 2020.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih sangat-sangatlah kepada YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy juga kepada Kerajaan Negeri Pahang yang bagi sumbangan rumah ini tanpa sebarang bayaran,” ujarnya gembira.
Rumah Rakyat Pahang berserta kelengkapan barangan elektrik bernilai RM2,000 yang terletak di Kampung Pandan 1 itu diserahkan kepada Puan Normah oleh YH Dato’ Haji Mohd Zaili Haji Besar yang mewakili Ahli Parlimen Paya Besar. – PAHANGMEDIA

