Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 30 NOVEMBER 2023 : Seramai 25,871 pelajar sekolah menengah di Pahang menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) oleh Kerajaan Negeri dengan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, BPP yang dilaksanakan sejak tahun 2022 ini telah memberi manfaat kepada ramai penduduk Pahang dan akan diteruskan pada masa akan datang.
Malah katanya, seramai 1,927 orang pelajar di Daerah Pekan telah menerima BPP (SPM/ STPM) melibatkan 20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dengan peruntukan RM193,000.

“Sudah tentu ini merupakan satu perbelanjaan yang amat besar yang disediakan Kerajaan Pahang, namun ianya bukan halangan kepada Kerajaan Pahang untuk terus membantu para pelajar.
“Terdapat 29 jenis BPP antaranya untuk anak yatim, ibu tunggal, pelajar tahfiz, anak muda, gelandangan, nelayan, pemandu teksi, warga emas, kampung tradisi, peneroka, Orang Asli, Masjid dan Surau, penjaja harian, pengusaha bot, pemandu pelancong, veteren polis & tentera, pelajar universiti malah banyak lagi bagi tahun 2023 dengan jumlah peruntukkan RM42.3 Juta,” katanya.
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin merupakan wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster SPM/ STPM kepada pelajar Sekolah-sekolah Menengah dalam Daerah Pekan di SMK Dato’ Mahmud Mat, di Pekan.
Jelasnya, rakyat Pahang amat bertuah kerana mempunyai kepimpinan berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tanpa rasa jemu.
BPP SPM dan STPM ini adalah inisiatif YAB Menteri Besar Pahang sebagai langkah meringankan beban pelajar dan keluarga.
“Begitu banyak bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan. Jelas Kerajaan Pahang berjiwa rakyat dan mengamalkan ciri-ciri kepimpinan Islam sebenar dalam membela nasib rakyat.
“Pertahankan dan hargailah kerajaan yang baik seperti ini. Moga pada masa akan datang lebih banyak lagi nikmat dikurniakan Allah SWT kepada kita semua di bumi bertuah Pahang ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

