Oleh : Fara Rosli
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2023: Kerajaan Pahang kekal komited dalam membantu menaiktaraf ekonomi penduduk di negeri ini antaranya dengan mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk kegunaan pertanian.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha dalam memastikan rakyat, khususnya para petani, dapat meningkatkan pendapatan mereka.
“Pemberian LPS ini diharap digunakan untuk tanaman padi dengan jayanya. Moga usaha ini memberi manfaat kepada semua penerima,” katanya ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan LPS untuk kegunaan pertanian (padi) kepada penduduk di Kampung Merchong Mukim Bebar, Pekan, semalam.
Memetik daripada kenyataan di laman rasmi Facebooknya semalam, beliau berkata, LPS tidak boleh dipindah milik, diserah, disewa atau diusahakan kepada orang lain dan boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati melakukan perkara tersebut.
“Jika didapati melanggar syarat ditetapkan maka LPS ini boleh dibatalkan serta merta oleh pihak Pentadbir Tanah Daerah Pekan seterusnya menyebabkan Pendudukan Secara Sah Akan Terbatal. LPS ini boleh terbatal serta merta oleh Pentadbir Tanah dan Daerah Pekan seterusnya menyebabkan pendudukan secara sah akan terbatal.
“Lesen ini diberikan pihak berkuasa negeri kepada penduduk layak untuk menduduki tanah kerajaan secara sah dari segi perundangan untuk usahakan pertanian Padi dan perlu diperbaharui setiap tahun sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 65 Kanun Tanah Negara (Akta 828),” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah bersetuju akan cadangan projek sawah Padi Berskala Besar (SBB) melibatkan Daerah Pekan & Rompin di mana Jelapang Padi Merchong turut terlibat dalam kawasan cadangan tersebut.
“Usaha ini selari dengan Agenda Nasional – Dasar Sekuriti Makanan Negara, bertujuan memastikan bekalan makanan keperluan rakyat lebih mudah didapati, berterusan dan terus stabil di pasaran. InshaAllah.
“Oleh itu, bagi Skim Tanaman Padi Merchong ini, Projek Membina dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran (Right Bank) dengan jumlah peruntukkan lebih RM55 Juta dan Projek Membina dan Menaiktaraf Infrastruktur Pengairan dan Saliran di Skim Merchong (Left Bank) untuk Fasa I, II dan III peruntukkan RM109 juta akan dilaksanakan. Kedua projek ini akan di tender pada tahun 2024 dengan keseluruhan peruntukkan hampir RM165 juta,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 313 orang penduduk yang menerima Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi kegunaan pertanian (padi) di Kampung Merchong Mukim Bebar, Pekan di mana setiap penerima mendapat seluas lima ekar yang telah diperakukan lulus, semalam. – PAHANGMEDIA