Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Nor Hilmi Nordin
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2023 : Persidangan 3rd International Conference On Education (ICEd) 2023 dan 9th International Conference On Language And Education (ICLE) 2023 mampu membuka ruang dan medium bagi merangsang barisan ahli akademik dari Asia Tenggara agar memperkukuhkan penyelidikan bagi tujuan perkongsian ilmu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, persidangan yang diadakan selama dua hari ini berlangsung di Kampus Utama University College Of Yayasan Pahang (UCYP) melibatkan seramai 38 pembentang penyelidikan daripada negara-negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand.
Menurutnya, usaha yang dianjurkan oleh pihak UCYP ini bukan sahaja dapat menyediakan medium perbincangan tetapi dapat menyatupadukan para penyelidik daripada universiti-universiti terkemuka Asia Tenggara.

“Persidangan ini bertujuan untuk merapatkan hubungan dan juga bertukar-tukar ilmu pengetahuan, ini merupakan satu usaha yang baik oleh UCYP yang bersedia menjadi tuan rumah pada kali ini.
“Persidangan ini juga berpeluang memberi pendedahan kepada para pelajar dari UCYP dan ianya merupakan usaha yang dapat menyuburkan budaya ilmu kerana penglibatan pelajar dan anak-anak muda akan merapatkan jaringan di kalangan mereka bukan semata-mata dari segi ilmu tetapi juga dari gerakan massa yang boleh menjadi mangkin terhadap kesepaduan, keharmonian dan keamanan global dalam menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail merasmikan Majlis Penutup Persidangan 3rd International Conference On Education (ICEd) 2023 dan 9th International Conference On Language And Education (ICLE) 2023 di Kampus Utama UCYP, Kuantan, semalam.
Hadir sama ialah Naib Canselor UCYP, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, Presiden Association Of Language Teachers In Southeast Asia (ALTSA), Timbalan Naib Canselor UCYP (Hubungan Industri dan Penyelidikan), Profesor Madya Dr. Tan Li Pin dan Pengerusi Fakulti Pendidikan dan Pengajian Bahasa UCYP, Puan Nur Azimah Saad.
Persidangan kali ini bertemakan ‘Education And Language For Sustainable Development : Social Responsibility And Global Citizenship’ bertujuan mendalami peranan pendidikan dalam memupuk kelestarian di peringkat global dan tangungjawab sosial.
Perbahasan merangkumi kepentingan memupuk kecekapan budaya, empati dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi cabaran global. – PAHANGMEDIA

