Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2023 : Program Healing @ Little England Fraser Hill selama dua hari bermula 18 November lepas dengan konsep glamping di Bukit Fraser telah berjaya menarik minat 80 peserta.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim dalam satu kenyataan media berkata acara yang julung kali diadakan ini mendapat sambutan penyertaan yang menggalakkan melibatkan 22 buah khemah.
“Penganjuran kali pertama bagi tujuan mempromosikan Bukit Fraser sebagai salah satu tempat percutian tanah tinggi yang menarik di Negeri Pahang.
“Acara ini melibatkan aktiviti Glamping seramai 80 orang peserta dengan 22 buah khemah. Serentak dengan acara Glamping, pertandingan BMX flatland turut juga diadakan di pentas utama melibatkan penyertaan keluarga seramai 120 orang dari pelusuk tanah air yang terdiri daripada 45 orang peserta, 10 orang krew, 62 buah keluarga dan 3 orang juri.
“Persembahan pentas di sebelah malam telah diadakan dengan menampilkan artis OAG, Prassat dan Anak Kayan,” katanya.

Menurut beliau, program yang turut tersenarai dalam kalendar pelancongan Negeri Pahang ini dapat membantu industri pelancongan khususnya di Bukit Fraser yang sinonim dengan keindahan alam semulajadi ini.
“Statistik kedatangan pelancong pada tahun 2022 telah menunjukkan bahawa sebanyak 49,139 ribu orang yang telah datang ke Bukit Fraser berbanding pada tahun sebelumnya hanya 21,981 ribu orang yang mana pada ketika itu, kita masih dalam peralihan endemik Covid 19.
“Walau bagaimana pun, bagi sembilan bulan pertama iaitu Januari hingga September tahun 2023 dan 2022, kedatangan pelancong ke Bukit Fraser telah menunjukkan peningkatkan yang positif iaitu 35,176 ribu orang dan seterusnya melebihi jumlah 50,000 ribu pelancong pada 2023. Peningkatan ini amat memberangsangkan dalam sektor pelancongan di Bukit Fraser ini.
“Ternyata, dengan adanya program pada hari ini ianya sedikit sebanyak membantu industri pelancongan khususnya di Bukit Fraser yang sinonim dengan keindahan alam semulajadi serta merancakkan lagi industri pelancongan negeri selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri Pahang yang menyasarkan sebanyak 13 juta pelancong ke Negeri Pahang pada tahun 2023,” katanya. -PAHANGMEDIA

