Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2023 : Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur yang akan berlangsung sehingga 26 November ini adalah satu momen kesatuan rakyat Pahang berkumpul bersama-sama.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ia juga dapat mengimbau kenangan dahulu yang mana stadium ini merupakan tempat rakyat Pahang berkumpul untuk acara sukan.

“Ia bagi mengingatkan rakyat Pahang keseluruhannya ini bukan soal stadium semata-mata, ini bukan soal bola sepak, dan olahraga semata-mata, ini soal kesatuan kita.
“Dulu kita boleh berhimpun berpuluh ribu orang, mengisi ruang-ruang kosong, tempat duduk dalam Stadium Darul Makmur ini dan sejarah ini, Perbadanan Stadium Darul Makmur selepas 50 tahun, mahu mengembalikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Agama Air Mata Palestin: Ujian Umat Akhir Zaman, Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur di Pekarangan Stadium Darul Makmur.

Menurut beliau pengisian program sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur ini juga melibatkan pengisian rohani kepada orang ramai.
“Pengisian, penganjuran program ini cukup bermakna selain kita ada acara karnival, persembahan malam gala, kita juga dapat dengar isu terkini berkaitan Palestin.
“Ini adalah antara pengisian utama (ceramah) bagi sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur. Yang mana sebagai umat Islam, ia amat menyentuh hati, jiwa, dan nurani kita,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua rakyat Pahang daripada seluruh negeri ini untuk sama-sama hadir memeriahkan sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur pada 8 malam 25 November ini.
Majlis sambutan yang akan dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah akan turut diadakan pelancaran logo baharu Perbadanan Stadium Darul Makmur serta persembahan oleh lebih 400 pelajar sekolah seluruh Kuantan.
Ia juga akan diserikan juga dengan persembahan oleh Dato’ Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Ara Johari, di samping peluang memenangi cabutan bertuah berupa sebuah kereta Myvi dan tiga motorsikal Y 15 oleh pengunjung yang hadir.
Stadium Darul Makmur telah disempurnakan perasmiannya pada 30 September 1973 oleh Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah Shah. – PAHANGMEDIA

