Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 15 NOVEMBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM104.6 juta setakat 31 Oktober lepas.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini juga, JPNP telah berjaya mengutip hasil melebihi RM100 juta setiap tahun.
“Selain itu, hasil penguatkuasaan JPNP, kutipan kompaun sebanyak hampir RM4 juta telah diperolehi pada tahun lalu.
“Malah, bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah berjaya memastikan kutipan hasil melebihi RM100 juta setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika persembahan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur dan Majlis Perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin di Pejabat Hutan Daerah Rompin hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan.
Beliau dalam majlis berkenaan turut meminta Kerajaan Persekutuan untuk membayar kos lepas kira-kira RM17 bilion kepada Kerajaan Negeri bagi pewartaan hutan simpan di negeri ini.
“57.07 hektar hutan kalau ditebang atau diambil mineralnya mendatangkan hasil hampir RM17 bilion. Sehubungan itu, patik minta Kerajaan Persekutuan untuk membayar pembayaran kos lepas yang mana sehingga hari ini satu sen pun tidak dibayar.
“Hasil pembayaran ini boleh memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri untuk disalurkan semula kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sebanyak RM14 juta disalurkan kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui insentif kewangan bag konservasi biodiversiti dan hutan (EFT) bagi tahun ini.
“Selain itu, insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Consorvation- EFT) sebanyak RM70 juta pada 2022 dan ditambah kepada RM200 juta pada tahun 2024 berbanding RM150 juta pada tahun 2023 untuk memperkasakan Kerajaan-kerajaan Negeri memulihara dan mewartakan kawasan perlindungan,” katanya.
Turut hadir, YAM. Tengku Dato’ Sri Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YH. Dato’ Indera Mohd Ridza Awang; dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Roslan Rani. -PAHANGMEDIA

