Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 15 NOVEMBER 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur dan Majlis Perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin di Pejabat Hutan Daerah Rompin hari ini.
Seri Paduka Baginda yang tiba 11.10 pagi diiringi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Tuan. Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut persembahan silat sebelum diteruskan dengan persembahan ucapan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim (NRECC) dan YAB. Menteri Besar Pahang.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan bercemar duli melakukan gimik perasmian dan kemudian berkenan menandatangani plak perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin selepas titah perasmian.

Seri Paduka Baginda kemudiannya turut berkenan menanam pokok Serdang Endau atau nama saintifik Livistona Endaunensis dipekarangan Pejabat Hutan Daerah Rompin.
Turut hadir, YAM. Tengku Dato’ Sri Sulaiman Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang; Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, YH. Dato’ Indera Mohd Ridza Awang; dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YBhg. Tuan Haji Roslan Rani.
Pembinaan bangunan pejabat yang bermula pada November 2019 dan siap sepenuhnya pada Jun 2023 ini menelan kos sebanyak RM4.5 juta.
Bangunan yang mempunyai ciri-ciri rekabentuk terkini dan dilengkapi kemudahan pejabat yang moden ini dibina bagi memberi suntikan baharu dan dorongan semangat kepada warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan dalam pentadbiran dan pengurusan hutan di daerah ini. -PAHANGMEDIA

