Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 31 OKTOBER 2023 : Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang menyerahkan wang sumbangan sebanyak RM15,000 kepada Tabung Kemanusian Pahang4Palestine.
Penyerahan cek cura dan wang sumbangan tersebut dilakukan oleh Ketua Puteri UMNO Negeri Pahang, Cik Nurul Aslina Saman kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Temerloh hari ini.
Menurut Cik Nurul Aslina, jumlah wang sumbagan ini merupakan hasil kutipan wang sumbangan selama empat hari oleh Puteri UMNO Negeri Pahang.
“Kami menyerahkan sejumlah RM15,000 kepada YAB Menteri Besar Pahang untuk Tabung Kemanusiaan Palestine yang mana jumlah itu telah dikutip melalui Puteri bahagian-bahagian di dalam Pahang iaitu sebanyak 14 bahagian.
“Sebenarnya mereka baru bermula selama empat hari dan inilah jumlah kutipan yang telah kita serahkan kepada YAB Menteri Besar Pahang untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan di bumi Palestine,” katanya.
Beliau berkata kutipan serupa juga akan digerakkan dengan lebih agresif ke peringkat cawangan bagi memastikan lebih ramai pihak dapat menyalurkan sumbangan mereka.
Menurut beliau lagi, keadaan di Palestin yang amat mendukacitakan dengan ketiadaan bekalan asas seperti makanan dan minuman menjadi pencetus kepada kutipan ini.
“Bila kita lihat keadaan di Gaza sangat mendukacitakan. Bila kita tengok anak-anak di sana tak ada makanan, tak ada air untuk minum, dari situ tercetusnya untuk Puteri Pahang kita buat satu tabung untuk digerakkan kepada bahagian-bahagian dan kita sampaikan melalui YAB Menteri Besar untuk disampaikan kepada mereka di sana.
“Setakat ini kita masih meneruskan gerakan tabung ini di bahagian-bahagian dan saya kira selepas ini sebahagian daripada tabung ini kita akan serahkan kepada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia untuk disampaikan melalui Wisma Putra.
“Dan saya kira kutipan untuk diserahkan kepada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pun tidak kurang daripada RM5,000 dan ia mungkin akan diserahkan selepas 18 November,” katanya.
Kerajaan Negeri Pahang telah melancarkan Tabung Kemanusian Pahang4Palestine semalam bagi memastikan sumbangan dapat diselaraskan bagi disampaikan kepada rakyat Palestin yang sedang dalam kedukaan.
Hasil sumbangan ini diharap dapat membantu rakyat Palestin yang serba kekurangan terutamanya dari segi makanan, minuman, perubatan dan sebagainya kesan daripada kekejaman rejim Israel.
Sebarang sumbangan juga boleh disalurkan secara pindahan bank Perbendaharaan Negeri Pahang (Infaq) menerusi akaun Bank Muamalat (06010004584717) bersama rujukan Pahang4Palestine (jika melalui pindahan atas talian), nombor id KTAN0015630, dan email ebayaran.an@pahang.gov.my.
Dan sekiranya sumbangan diberikan melalui cek, sumbangan berkenaan hendaklah ditulis ke atas nama Pegawai Kewangan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

