Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Radin Mohd Nor Hilmi Nordin
TEMERLOH, 31 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang berhasrat mempertingkatkan fasilisiti dan kemudahan sukan di Sekolah Sukan Negeri Pahang (SSNP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di sini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, seramai 57 atlet daripada 240 atlet SSN Pahang layak terpilih mewakili Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang.
Justeru, kemudahan fasiliti perlu dilengkapkan bagi membolehkan para pelajar dilatih sebaik mungkin di dalam acara sukan masing-masing iaitu hoki, bola jaring, sepak takraw dan olahraga.

“Sebenarnya banyak perancangan kita untuk kemajuan sukan di Pahang ini dan kita sedang lakukan dan saya tengok sekolah ini perlu kita bantu, cara macam mana hendak bantu tu nanti saya akan umumkan kemudian, saya memang minta bajet khas daripada Kerajaan Negeri untuk kita bantu sekolah ini khusus dari segi infra dan selain daripada itu kita tahu sukan ini perlukan bajet yang besar.
“Kita juga mengambil inisiatif menubuhkan Tabung Amanah Sukan Pahang sudah hampir dua bulan kita tubuhkan yang daripada tabung ini juga kita harap boleh bantu atlet dan juga infra sukan di seluruh Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja pada Program Kunjung Hormat YB Exco Ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, Pahang di Temerloh.

Beliau turut menyatakan kesungguhan untuk meningkatkan prestasi atlet dan kemajuan sukan di Negeri Pahang supaya tidak ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain.
“Saya menyatakan komitmen dan kesungguhan ini kepada Majlis Sukan Pahang dan saya harap pihak-pihak berkepentingan contohnya Sekolah Sukan Pahang ini juga dapat menyahut semangat dan pembaharuan yang sedang Kerajaan Negeri lakukan ketika ini,” katanya.
Pada kunjung hormat itu, beliau berkesempatan meluangkan masa bersama para atlet sepak takraw, bola jaring dan hoki selain menyampaikan sumbangan peralatan sukan dan saguhati daripada Kerajaan Pahang melalui MSP kepada para atlet.
Beliau berharap lebih ramai atlet SUKMA dapat dilahirkan daripada SSN Pahang di SMK Seberang Temerloh pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

