Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 29 OKTOBER 2023 : University College of Yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) telah memilih tema Mentransformasi Masyarakat Melalui Pendidikan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UCYP dan KYP bagi sesi 2023.
Pro Canselor UCYP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, tema ini merujuk kepada proses penggunaan sistem, amalan dan dasar pendidikan kearah perubahan positif dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Proses transformasi ini juga dapat melengkapkan individu dengan pengetahuan, kemahiran, nilai dan peluang yang akhirnya dapat meningkatkan pembentukan peribadi secara holistik dan pembangunan masyarakat yang lebih progresif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis istiadat konvokesyen tersebut yang diadakan di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) Hotel Zenith, hari ini.

Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak; Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin; Naib Canselor UCYP, YH Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain; serta barisan kepimpinan dan pengurusan tertinggi UCYP dan KYP.
Tambah beliau lagi, tema tersebut merangkumi idea bahawa pendidikan boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan sosial, ekonomi budaya dan politik.
“Tema ini sejajar dengan matlamat pembangunan lestari atau Sustainable Development Goal Ke-4 iaitu pendidikan berkualiti di mana ia menjamin pendidikan menyeluruh dan ekuiti serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar graduan dari UCYP dan KYP ini dapat menjadi satu modal insan dalam apa jua bidang bagi membantu pertumbuhan ekonomi negeri Pahang khususnya. – PAHANGMEDIA

