Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 25 OKTOBER 2023 : Sukan bola sepak di Negeri Pahang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata ini dilihat daripada penyertaan ramai bakat-bakat muda di dalam sukan ini.
“Saya tengok ada satu potensi yang besar sebab daripada sesi petang ini kita tengok banyak bakat-bakat anak muda seawal usia 5 tahun yang cukup berpotensi untuk di gilap. Kerajaan Negeri pasti menyokong usaha sebegini dan kalau lebih banyak kelab yang boleh berperanan seperti ini kita akan terus support.

“Saya sentiasa sokong kelab yang ada komitmen tinggi seperti ini dan apatah lagi Rhino Football Academy ini peringkat awal penubuhan pada 2014 sekitar sembilan orang sahaja pelatih dan hari ini telah cecah lebih 230 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat pasukan Rhino Football Academy dan menyerahkan cek bantuan Kerajaan Negeri Pahang kepada pasukan berkenaan di Kem Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) semalam.
Turut hadir, Pengurus Rhino Football Academy, Puan NorrulHuda Md Daud; dan Pengarah Teknikal Academy & Coach U12, Encik Mohd Rostam Hassan.

Beliau dalam lawatan berkenaan turut menyampaikan cek bantuan Kerajaan Negeri Pahang bernilai RM5,000 bagi membantu kelab yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang dan Sri Pahang FC ini.
“Ini permulaan (beri sumbangan) dan tengok nanti perkembangan selanjutnya mungkin kita boleh terus bantu kelab ini yang sebenarnya tak banyak di Pahang, tak lebih lima kelab yang betul-betul aktif dan komited menjayakan sukan bola sepak,” katanya.
Pasukan yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan dan ahli piagam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ini turut menjuarai pelbagai kejohanan antaranya Juara Bawah 12 Tahun di Singapura pada 2017, tempat Ketiga di Hanoi Vietnam pada Jun 2022, dan juara Kategori Plate di kejohanan JSSL, Singapura pada November 2022.
Selain itu, tiga orang pemain Bawah 12 Tahun daripada kelab ini juga telah menandatangi kontrak pemain di bawah Sri Pahang FC, dan beberapa pemain terdahulu, kini telah menyarung jersi kebangsaan dan ada juga yang telah bersama pasukan di Liga MFL.
Kelab ini juga, sedang berlatih bagi persiapan untuk menyertai kejohanan Singacup Di Singapore pada 4 hingga 9 November ini yang melibatkan pemain berusia 7 tahun hingga 14 tahun. -PAHANGMEDIA

