Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 OKTOBER 2023 : Sebanyak 22 premis bersaing pada Anugerah Premis Mesra OKU Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 2023 yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, petang tadi.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan berkata, kesemua premis menunjukkan kesungguhan dan komited ketika proses pengauditan selain pelbagai kemudahan OKU telah pun tersedia di premis masing-masing.
“Pertandingan begitu sengit, maksudnya semua bangunan (premis) tersebut telah menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut tetapi kita memilih yang terbaik di antara terbaik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugersh Premis Mesra OKU Negeri Pahang Tahun 2023 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, YBhg Puan Hajah Siti Nor Hasma Mat Isa dan wakil Ketua Perunding Akses yang juga Dekan Kuliyyah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar UIAM, Profesor Ar. Dr. Abdul Razak Sapian.
Program anugerah ini merupakan inisiatif Kerajaan Pahang bertujuan meningkatkan pengetahuan terutama pemilik premis dan pegawai-pegawai teknikal dalam menyediakan kemudahan mesra OKU di negeri ini.
Anugerah ini berjaya dilaksanakan melalui pelantikan perunding kepada KAED Universal Design Unit (KUDU), Kuliyyah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar UIAM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

YB. Dato’ Sabariah berharap agar penganjuran anugerah seumpama ini bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada premis terlibat tetapi dapat membuka mata masyarakat terhadap keperluan khas di kalangan OKU di negeri ini.
“Semoga anugerah ini memberi kesedaran kepada kita semua yang normal ini maksudnya kita jangan meminggirkan golongan OKU ini, golongan OKU berada di mana-mana dan kita memberi keselesaan kepada mereka.
“Kita mengadakan program sebegini bagi memudahkan pergerakan OKU,” katanya.
Antara kemudahan asas yang diperlukan oleh golongan OKU di tempat awam adalah tempat letak kenderaan, laluan untuk kerusi roda dan pengguna bertongkat, tandas OKU dan sebagainya.
Orang ramai juga dinasihat agar tidak mengambil kesempatan dengan menyalahgunakan kemudahan OKU ini supaya ianya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh golongan terbabit. – PAHANGMEDIA

