Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 14 OKTOBER 2023 : Sebanyak lapan buah menara telekomunikasi baharu telah siap dibina dan mula beroperasi di kawasan parlimen Paya Besar.
Menurut Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor, 15 lagi menara telekomunikasi baharu di parlimen berkenaan sedang di peringkat pelaksanaan.
“Daripada 23 menara telekomunikasi, lapan (menara) telah On-Air manakala baki 15 (menara) sedang pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Baki menara baharu ini dijangka akan siap secara berperingkat dalam suku keempat tahun ini sehingga suku kedua tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata sebuah menara baharu yang terletak di Ladang Rangkaian Delima yang memberi manfaat kepada 200 penduduk juga telah beroperasi.
“Hari ini PHSO (Pejabat MCMC Negeri Pahang) telah memberikan taklimat kepada YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Paya Besar berkaitan pelaksanaan JENDELA di Parlimen Paya Besar.
“Lawatan ke dua tapak juga telah dilakukan iaitu Perumahan Makmur Gambang Jaya 2 dan Ladang Rangkaian Delima.
“Sesi penerangan juga dibuat di Ladang Rangkaian Delima yang menaranya telah beroperasi pada bulan Julai 2023 dan memberi manfaat kepada hampir 200 penduduk dan pekerja ladang,” katanya.
Tambah beliau, program ini adalah sesi libat urus PHSO bersama Ahli Parlimen Kerajaan dalam usaha mengawal dan menguruskan isu berkaitan SKMM daripada dibangkitkan dalam Sidang Parlimen yang sedang berlangsung. -PAHANGMEDIA

