Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 OKTOBER 2023 : Persimpangan Berlian, jalan masuk ke Kawasan Perindustrian Semambu (FT3486) yang ditutup akibat kerja penyelenggaraan telah pun dibuka semula kepada semua pengguna jalan raya.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, namun masih terdapat baki kerja yang belum disiapkan iaitu kerja-kerja mengecat garisan jalan.
“Dimaklumkan bahawa Persimpangan Berlian, Jalan Masuk ke Kawasan Perindustrian Semambu (FT3486) telah dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada hari ini, 16 Oktober 2023 bermula tengah malam tadi. Alhamdulillah.
“Kerja penyelenggaraan jalan ini melibatkan kerja pembaikan dengan kaedah Concrete Fibre Pavement telah siap dilaksanakan oleh pihak Roadcare. Walaubagaimanapun, masih terdapat baki kerja yang belum disiapkan iaitu kerja-kerja mengecat garisan jalan. Oleh itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi papan tanda keselamatan dan perlahankan kenderaan,” katanya.

Tambah beliau, kerja penyelengaraan jalan berkenaan yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta ini melibatkan lima skop kerja.
“Untuk makluman, kerja penyelenggaraan jalan ini telah dilaksanakan dengan kos RM1.2 juta yang melibatkan skop kerja seperti berikut; A.Kerja Reconstruction; B. Kerja Concrete Fiber Pavement; C. Kerja Saliran (Subsoil & Surface); D. Kerja Regulate AC14; dan E. Kerja Pengalihan Utiliti (dilaksanakan oleh pihak TM, TNB dan PAIP).
“Berdasarkan skop asal projek, kerja selenggara jalan ini hanya melibatkan kerja pembaikan jalan termasuk di semua susur dan laluan ke POLISAS. Namun terdapat pertambahan skop kerja yang perlu dilaksanakan di tapak kerana dikesan adanya aliran air di bawah tanah dan ini memerlukan kerja yang lebih rumit seperti kerja saliran dan Concrete Fiber Pavement. Skop kerja asal tidak dilaksanakan.
“Oleh itu, setelah berbincang pihak JKR Pahang telah mengemukakan semula permohonan baharu kerja penyelenggaraan jalan tahun 2024 untuk lokasi ini seperti yang dinyatakan diatas,” katanya.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak terlibat dalam penyelenggaraan jalan berkenaan serta di atas kesabaran pengguna jalan raya.
“Selaku Exco Kerja Raya Pahang, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan penyiapan kerja ini terutamanya JKR Negeri Pahang dan Roadcare Kawasan Kuantan – P1.
“Terima kasih juga kepada pengguna jalan raya yang memahami akan usaha dilaksanakan Kerajaan Pahang dan JKR serta sentiasa bersabar hingga jalan ini disiapkan. Semoga segala usaha dipermudahkan Allah SWT,” katanya. -PAHANGMEDIA

