Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 6 OKTOBER 2023 : Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Perhubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Pahang, YB Hassanuddin Salim yang menyatakan nasib peneroka FELDA terbela di bawah pemerintahan Perikatan Nasional.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kenyataan yang mengelirukan tersebut iaitu Perikatan Nasional melupuskan hutang peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion, adalah tidak benar.
“Itu tidak benar sama sekali, YAB Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan, mengatakan beliau yang menandatangani cek untuk membayar hutang peneroka felda tersebut.
“Rakyat kena faham, kalau Perdana Menteri mengatakan dengan jelas bahawa beliau yang bersetuju untuk menyelesaikan hutang ini dengan mengeluarkan duit bayaran, kalau nak selesai hutang semua orang boleh cakap, tapi tak bayar.
“Banyak buat kenyataan tak benar, apa tujuan ini, kita sepatutnya memberi pengharapan kepada rakyat, macam mana kita di Pahang, macam mana saya bersama dengan rakan Barisan Nasional, apa yang kita buat, kita kurangkan hutang kerajaan, sepatutnya itu yang ditawarkan kepada rakyat, bukan merekacipta fitnah persepsi menyebabkan rakyat terkeliru,” beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih di Kampung Semerting, hari ini.
Dalam pada itu, ketika di tanya mengenai persediaan Barisan Nasional menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.36 Pelangai esok, beliau berkata segala ikhtiar dan usaha telah dilakukan sehingga ke tahap maksimum, serta penerangan kepada pengundi-pengundi mengenai keperluan menyokong Barisan Nasional.
“Sebelum ini adalah wakil Rakyat BN, takdir Allah beliau (Allahyarham Dato’ Sri Johari) telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya akibat nahas kapal terbang, jadi kita nak teruskan sahaja, bukan kita nak ganti cari yang lain, kita nak meneruskan daripada Barisan Nasional kepada Barisan Nasional,” katanya. – PAHANGMEDIA

