Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 06 OKTOBER 2023 : Sebanyak sembilan pusat mengundi dan 30 saluran akan di buka pada hari pengundian PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai esok.
Menurut satu kenyataan media oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak, seramai 312 petugas akan turut bertugas pada 7 Oktober ini.
“Seramai 16,383 orang pengundi bakal mengundi di PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang. SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.
“Pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
“Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak. Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan,” katanya.
Menurut beliau, SPR telah memaklumkan kepada semua pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi adalah tidak dibenarkan.
“SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.
“Pelaksanaan tatacara pengundian yang baharu ini boleh dirujuk menerusi poster Tatacara 10 Langkah Pengundian yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya. Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.
“SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRK Dewan Negeri N.36 Pelangai, Pahang pada 7 Oktober 2023 (Sabtu) sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 minit malam, 6 Oktober 2023 (Jumaat).
“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Beliau turut berharap agar semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam dan sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan. -PAHANGMEDIA

