Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 2 OKTOBER 2023 : Masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terus menyatakan sokongan mereka terhadap parti Barisan Nasional.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang pimpinan BN tidak pernah mengetepikan masyarakat Orang Asli malah Pahang merupakan negeri pertama yang menubuhkan anak syarikat berkaitan Orang Asli iaitu Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).
“Beliau (Batin Encik Ramlee Mat) menyatakan selama ini BN dan Kerajaan Negeri Pahang ini banyak membantu mereka, mereka telah membuat pengakuan, Insya-Allah pada 7 Oktober ini akan menyokong terus kerajaan yang ada pada hari ini dan menyokong calon yang bertanding atas tiket BN.
“Mereka tolak parti-parti lain kerana telah terbukti BN membantu mereka selama ini daripada dulu sehingga sekarang dan nampak usaha-usaha kerajaan membantu mereka, bukan main cakap je, bukan kita main cakap janji bulan dan bintang, kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Ramah Mesra dan Santuni Saudaraku Anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang (JAKOA) di Kampung Sungai Gapoi, hari ini.
Hadir sama ialah Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Pengarah JAKOA Malaysia, Dato’ Hajah Sapiah Dato’ Mohd Nor dan Pengerusi Majlis Muafakat dan Adat Istiadat Batin Negeri Pahang, Batin Encik Razak Berentong.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap penduduk Orang Asli di kawasan tersebut yang tidak mudah terpengaruh dengan sentimen dan persepsi yang dibawa oleh pembangkang.
“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada beliau kerana beliau secara terbuka menyatakan sokongan dan difahamkan telah mendapat sokongan daripada seluruh penduduk di Sungai Gapoi ini dan juga penduduk yang berhampiran seperti Sungai Bot.
“Saya setuju dengan beliau kerana beliau dapat memikirkan bahawa selama ini memang kita yang membantu mereka, kita tidak pernah abaikan mereka,” katanya. – PAHANGMEDIA

