Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 2 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang akan menambah bilangan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberi percuma untuk masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang kepada 120 unit bermula tahun hadapan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif ini adalah kerana kedudukan ekonomi Pahang yang berada di tahap memberansangkan.
“Kita mampu 100 unit saja tahun ini, tapi tahun depan sebab kedudukan kewangan kita bertambah baik, kita tambah lagi 20 unit, macam itu juga setiap wakil rakyat dapat lapan buah rumah RRP yang boleh diberikan kepada mereka yang layak di kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ramah Mesra dan Santuni Saudaraku anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Pahang (JAKOA) di Sungai Gapoi, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM12.32 juta pada tahun ini untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli dalam pelbagai aspek.
“Daripada segi pemimpin pun kita ambil di kalangan mereka yang layak contohnya Ketua Pengarah kita, daripada kalangan masyarakat (Orang Asli), senator kita pun daripada kalangan masyarakat Orang Asli juga, dengan kata lain kita memang cakna kepada merekalah.
“Yang pentingnya kita di Pahang ni meningkat (pemberian bantuan), ada peningkatan dari semasa ke semasa, saya bercakap demikian kerana hasil Kerajaan Negeri sehingga sekarang dah hampir RM960 juta, maknanya sasaran kita RM1.08 bilion, sekarang ini awal bulan 10 kita telah mendapat hampir RM960 juta, maknanya lebih kurang RM50 juta lagi untuk mendapat sasaran RM1 bilion.
“RM1 bilion ini bukan mudah, negeri yang cakap banyak yang datang ke Pahang ini, dia RM300 juta pun tak dapat, sebab tu dia tak boleh bandingkang dengan prestasi, dia wujudkan persepsi, fitnah dan sentimen, sebab prestasi benda boleh diukur dengan angka, angka tidak pernah berbohong,” katanya. – PAHANGMEDIA

