Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 02 OKTOBER 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan Pahang Pride Kid kepada ibu yang baharu melahirkan bayi pada Program Dakapan Kasih semalam.
Pengarah JPN Negeri Pahang, Encik Muhammad Abdullah yang hadir menyatakan keperihatinan pihaknya dan Kerajaan Negeri Pahang kepada ibubapa baharu dengan memberi pendedahan prosedur daftar lahir serta bantuan khas yang diberikan oleh Unit Pembangunan Wanita dan Sosial (UPWS).
Pahang Pride Kid 2023 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pahang bagi meneruskan program Anak Kebanggaan Pahang yang dilancarkan sebelum ini.
Program sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Jubli Intan ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang disambut setiap 1 Oktober ini juga merupakan sebuah program ziarah berimpak tinggi dan bertepatan dengan slogan Rakyat Sentiasa Di Hati JPN.
Tarikh 1 Oktober telah ditetapkan sebagai Hari Pendaftaran Negara (HPN) bermula pada 2013 bersempena peristiwa kad pengenalan kertas yang mempunyai 6 digit diperkenalkan.
Program Dakapan Kasih ini turut melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Pahang, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) @ IIUM dan Unit Pembangunan Wanita dan Sosial (UPWS).
Di bawah Belanjawan 2023 Negeri Pahang, setiap bayi yang dilahirkan di Pahang akan menerima saguhati RM300 melalui Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid).
Sumbangan RM300 yang diperuntukkan diberikan dalam insentif RM50 untuk barang keperluan bayi; RM100 dalam bentuk simpanan akaun NURI (Bank Rakyat); dan RM150 dalam bentuk Gold Bar. -PAHANGMEDIA

