Oleh : Farahin Rosli
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023: “Kita kena pilih calon orang kerajaan, senanglah kita nak mohon bantuan, untuk memudah cara, itu perlu, kalau kita letak (pilih) orang bukan kerajaan, bertapis-tapislah,” itu jelas seorang penduduk Pelangai, Puan Maishitah Jamaluddin, 63.
Bagi Puan Maishitah, keperluan untuk memilih calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Amizar Abu Adam yang merupakan anak jati Pelangai amat penting agar mudah untuk berurusan kelak.

“Pada saya, calon ini sesuai dilantik di Pelangai, sebab memandangkan dia anak Pelangai, dan lagi satu calon kerajaan, mudah untuk kita nanti.
“Harapan saya ialah dia membawa kemajuan di Pelangai ini, kebetulan kampung saya ini kampung dia juga, tentu dia boleh membuat pembaharuan,” katanya yang berasal dari Kampung Bukit Gajah.
Manakala bagi Encik Hassan Mohd Lazim, 58, Dato’ Amizar disifatkan seorang yang amat berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.

“Saya tengok Dato’ Amizar ini betul-betul orang yang berkomitmen tinggi nak majukan DUN Pelangai ini, jadi lagi satu dia memang orang tempatan, semua dah kenal, jadi kita memang berharap sangat dia menang.
“Saya minta sangatlah orang di DUN Pelangai ini undi calon Dato’ Amizar kita, sebab pentingnya kali ini kita berharap sangat UMNO akan menang di DUN Pelangai ini, dalam Bentong ini ada empat DUN, sekarang ini UMNO tinggal satu DUN sahaja, jadi memang penting sangat kita nak menangkan UMNO di DUN Pelangai.
“Saya menyeru kepada penduduk-penduduk di DUN Pelangai ini undilah Dato’ Amizar untuk jadi calon kita untuk menyambung kesinambungan arwah Dato’ Sri Johari dulu,” katanya. – PAHANGMEDIA

