Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023 : Karnival Kerjaya MYFUTURE JOBS menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk masyarakat FELDA Chemomoi dan kawasan sekitar tanah rancangan tersebut.
Karnival anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hasil kolaborasi bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) dan HRD Corp bertujuan untuk memacu sosioekonomi terutamanya bagi masyarakat FELDA dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran.
Karnival yang berlangsung selama satu hari tersebut telah dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertempat di Dataran Ilmu FELDA Chemomoi, di sini hari ini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Sumber Manusia, YB Tuan V. Sivakumar; Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; Ketua Pegawai Kewangan HRD Corp, Encik Mohamad Farizul Yahaya dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, karnival tersebut menyediakan platform kepada penduduk FELDA untuk mendapatkan perkhidmatan kebolehpasaran, profiling, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan sekali gus mengatasi kadar pengangguran.
“Majikan yang mengambil calon pekerja dalam kalangan masyarakat FELDA boleh memanfaatkan rangkaian program disediakan menerusi Insentif Kerjaya MADANI 2023, termasuk menerima sehingga RM1,800 untuk tempoh tiga bulan bagi seorang pekerja yang digajikan,” jelasnya.
Kira-kira 2,000 orang pengunjung hadir ke karnival tersebut termasuk pelajar-pelajar sekolah, institut pengajian tinggi serta masyarakat sekitar daerah Bentong. – PAHANGMEDIA

