Oleh : Fara Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 30 SEPTEMBER 2023 : “Janganlah sibuk di kawasan orang lain, jagalah rakyatnya sendiri dan saya mengharapkan agar isu-isu yang dibawa oleh beliau itu tidak terlekat di minda dan di hati pengundi-pengundi di Pelangai,” itu tegas YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, Menteri Besar Kedah, Dato’ Sri Muhammad Sanusi Md Nor, seharusnya perlu lebih mengutamakan masalah banjir yang berlaku di negeri tersebut.
“Saya mendoakan seramai 1,452 mangsa banjir di Kedah yang terdiri daripada lebih 400 keluarga agar dapat ditangani oleh Menteri Besar Kedah dan saya yakin beliau dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik pada mangsa-mangsa banjir ini.
“Saya harap rakyat di Pelangai ini bijak sebagaimana pengundi-pengundi di Pulai dan Simpang Jeram yang telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih seorang wakil rakyat yang boleh memberikan kesinambungan perkhidmatan walaupun saya tahu beliau menggunakan apa sahaja berlatarbelakangkan peneroka yang ada di sini, yang cuba dimainkan dan dikotorkan minda mereka untuk membenci kepimpinan kerajaan di Putrajaya dan kerajaan di Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival MYFUTURE JOBS di Felda Chemomoi, hari ini.
Ditanya mengenai adakah Barisan Nasional mampu mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, beliau berkata strategi yang ditonjolkan BN untuk PRK kali ini berada pada tahap yang baik.
“Kami mempunyai keyakinan untuk mempertahankan DUN Pelangai ini, tapi kita harus berusaha kerana kita tahu bahawa pihak seteru politik kita akan mencuba sedaya mungkin untuk menafikan sokongan rakyat Pelangai.
“Saya yakin dengan kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang selaku Pengerusi Barisan Nasional Negeri dan saya telah melantik beliau sebagai Pengarah PRK di Pelangai ini dan saya yakin kemampuan beliau sebagaimana kejayaan yang kita perolehi di dalam PRK di Tioman walaupun dalam keadaan serba kepayahan namun kita dapat mengambil Tioman,” tambahnya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan para pengundi di kawasan Pelangai agar membuat pilihan yang bijak dengan mengundi Barisan Nasional pada 7 Oktober depan demi kesejahteraan penduduk itu sendiri.
“Saya juga mengharapkan agar mereka (pengundi) menolak calon daripada pihak yang tidak dapat memberikan perkhidmatan yang selari dengan kerajaan di Kuantan dan juga kerajaan di Putrajaya.
“Kita yakin pengundi di Pelangai ini amat dekat dengan BN dan mereka mahukan supaya perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan oleh seorang ADUN yang dapat kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat,” katanya. – PAHANGMEDIA

