Oleh : Farahin Rosli
BERA, 23 SEPTEMBER 2023 : Pembinaan Jambatan Al-Sultan Abdullah dilihat dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk di daerah ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, infrasturktur dan taraf sosioekonomi penduduk di daerah itu dapat ditingkatkan dengan pembinaan jambatan serta sebuah jalan baharu.
“Dengan terbinanya jambatan sepanjang 770 meter dengan lebar 12.5 meter ini yang merentasi Sungai Pahang dari Kampung Guai ke Kampung Seberang Guai di daerah Bera, serta sebuah jalan baharu sepanjang 799 meter dengan lebar 6.5 meter, ia secara langsungnya dapat menambahbaik rangkaian infrastruktur jalan raya luar bandar, serta meningkatkan taraf sosioekonomi terutamanya penduduk di daerah Bera ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat persembahan ucapan pada Majlis Perasmian Jambatan Al-Sultan Abdullah, di sini hari ini.

Pada majlis sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan bercemar duli memasyhurkan Perasmian Jambatan Al-Sultan Abdullah.
Turut mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut bercemar duli, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.; dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam persembahan ucapan berkenaan, beliau turut memaklumkan seramai kira-kira 1,200 orang penduduk di kawasan itu dapat dihubungkan melalui pembinaan jambatan tersebut.
“Dengan siapnya jambatan ini, ia juga dapat membantu memudahkan penduduk dari sembilan buah kampung yang terpisah oleh Sungai Pahang untuk berulang alik.
“Kampung-kampung tersebut adalah Kampung Guai, Kampung Seberang Jelam, Kampung Mengkuang Ladang, Kampung Pamah Kasih,
Kampung Charuk Puting, Kampung Selendang, Kampung Kening, Kampung Puchong, dan Kampung Batu Bor,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata pembinaan jambatan tersebut turut dapat menjimatkan waktu perjalanan para pengguna dari 1 jam 30 minit kepada 40 minit sahaja. – PAHANGMEDIA

