Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 23 SEPTEMBER 2023 : Pembinaan Jambatan Al-Sultan Abdullah dapat menambahbaik hubungan dan ukhwah penduduk Bera dan Temerloh selain memberi keselesaan kepada rakyat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah demikian ketika berkenan becemar duli memashyurkan jambatan baharu di Kampung Seberang Guai di sini.
Baginda bertitah pembinaan jambatan yang diluluskan pembinaan pada 2016 dengan kos anggaran sebanyak RM98.5 juta ini turut memastikan penduduk dari sembilan kampung terlibat tidak terpinggir dari arus pembangunan.

“Ianya dibina susulan daripada bencana banjir yang berlaku pada tahun 2014, yang telah memutuskan hubungan sebanyak sembilan buah kampung, dan sekitar 1,200 jumlah penduduk.
“Alhamdulillah, dengan terbinanya jambatan baharu sepanjang 770 meter, dengan sebuah jalan baharu sepanjang 799 meter, rakyat di sembilan buah perkampungan tersebut akhirnya tidak lagi terpinggir dari arus pembangunan.
“Dengan terbinanya jambatan ini, perhubungan serta ukhwah penduduk di antara kedua-dua daerah Bera dan Temerloh akan menjadi bertambah baik, serta kehidupan seharian rakyat menjadi lebih selesa,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah bahwasanya jambatan adalah merupakan suatu medium yang menghubungkan dan membantu merentasi halangan yang ada.
“Sesungguhnya jambatan adalah merupakan suatu medium yang menghubungkan antara dua tebingan kawasan perairan.
“Jambatan juga adalah merupakan suatu medium yang berupaya membawa kita untuk merentasi halangan, dan apa juga rintangan yang menjadi pemisah, serta berupaya untuk membawa kita meneroka ke suatu persekitaran yang baharu sehingga membentuk sebuah masyarakat tanpa sikap prejudis dan prasangka,” titah baginda.
Baginda dalam titah perasmian turut menzahirkan perasaan sukacita apabila jambatan baharu ini dimasyhurkan dengan nama baginda.
“Ini adalah merupakan satu penghormatab buat diri saya yang tiada nilai bandingannya serta sangat bermakna kepada saya.
“Marilah kita jadikan jambatan ini sebagai satu simbol dan mercu tanda yang menjadi bukti penghubung antara saya dengan masyarakat, antara istana dengan masyarakat, kerana sesungguhnya Raja itu tempatnya rakyat menumpang teduh,” titah baginda.
Turut mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mencemar duli, YAM. Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.; dan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; barisan exco Kerajaan Negeri Pahang; dan Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. -PAHANGMEDIA

