Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 23 SEPTEMBER 2023 : Proses penamaan calon yang berlangsung pagi tadi menyaksikan pertembungan tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang sebelum ini disandang oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun selama lapan bulan sebelum terlibat nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Calon DUN Pelangai dari parti Barisan Nasional (BN), Dato’ Amizar Abu Adam yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong dicabar calon Perikatan Nasional (PN), Kassim Samat.
Turut bertanding ialah calon Bebas yang diwakili Haslihelmy DM Zulhasli.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan berkata, kesemua calon boleh mula berkempen sehingga 6 Oktober 2023 iaitu sehari sebelum hari mengundi.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.
“Semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk menyentuh isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.
SPR juga berharap agar aktiviti berkempen dapat berjalan dalam suasana harmoni mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. – PAHANGMEDIA

