Oleh: Farahin Rosli
KUANTAN, 17 SEPTEMBER 2023: Karnival Tanah Pahang anjuran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang berjaya merekodkan kutipan hasil tanah berjumlah lebih RM100 juta sepanjang tempoh karnival ini diadakan.
Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, YH Dato’ Hamdan Hussin berkata, jumlah kutipan tersebut adalah hasil daripada inisiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui PTG yang menawarkan Insentif Pengecualian Denda Lewat.
“Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah berbesar hati untuk menawarkan Insentif Pengecualian Denda Lewat kepada semua pemilik tanah di Negeri Pahang yang telah pun berkuatkuasa bermula 22 Julai yang lepas sehingga 16 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Kuantan 2023 bertempat di Kuantan Parade, hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 orang pengunjung tersebut dirasmikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob.
Turut hadir ialah Dato’ Bandar Kuantan, YH Dato’ Razihan Adzharuddin; serta Pegawai Daerah Kuantan, YH Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar.
Mengulas lanjut, beliau turut memberi peringatan kepada para pemilik tanah agar bertanggungjawab dalam melaksanakan pembayaran cukai tanah.
“Bagi mana-mana pemilik yang enggan membayar cukai tanah seperti yang ditetapkan oleh Pentadbir Tanah, tindakan tegas akan dilaksanakan melalui endorsan surat peringatan melalui Notis Borang 6A, jika tiada tindakan selanjutnya dibuat oleh pemilik tanah, maka endorsan Notis Borang 8A akan dikeluarkan bagi tujuan perampasan semula kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Karnival Tanah Pahang akan meneruskan siri jelajahnya di empat buah daerah lagi iaitu Jerantut, Bentong, Rompin dan Lipis yang akan berakhir pada Oktober depan. – PAHANGMEDIA

