Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 17 SEPTEMBER 2023 : Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dinasihatkan supaya memilih calon yang betul dan sealiran dengan kerajaan supaya dapat memudahkan proses penyaluran bantuan dan permasalahan penduduk setempat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon daripada Barisan Nasional (BN) adalah merupakan pilihan tepat kerana dasarnya sama dengan Kerajaan Persekutuan sekaligus dapat mempercepatkan pembangunan yang telah dirancang oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun.
“Bantuan mudah disalurkan sekiranya para pengundi memilih wakil rakyat daripada UMNO atau Barisan Nasional supaya mudah bantuan atau permasalahan disalurkan oleh penduduk di Pelangai,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Program Ramah Mesra Kepimpinan Rancangan FELDA Wilayah Mempaga bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi FELDA, YH. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek di Dewan Orang Ramai FELDA Sungai Kemahal, Bentong.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pengarah Besar FELDA, YH. Dato’ Amiruddin Abdul Satar, Pemangku Ketua UMNO Bahagian, YH. Dato’ Sri Mohamad Zaini Salleh, Pengurus Besar FELDA Wilayah Mempaga, YBhg Encik Mohd Saidi Salleh dan Ketua Peneroka Kebangsaan, YBhg Encik Sulong Jamil.
Dalam ucapannya, beliau turut memberi jaminan bahawa 90 peratus isu air di negeri ini akan dapat diselesaikan menjelang tahun 2026 di mana kerja-kerja menaiktaraf sedang giat dilaksanakan dan disiapkan secara berperingkat.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyentuh isu perpaduan di kalangan masyarakat berbilang bangsa dalam bersama-sama membangunkan negara khususnya Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

