Oleh : Ain Nadhirah Basha
BENTONG, 18 SEPTEMBER 2023 : “Saya mohon pada Allah SWT bagi rahmat kepada dia (Allahyarham), kalau tak ada dia saya rasa tak siap rumah ni,” itu kongsi Encik Maarof Abd Rahman berkenaan bantuan yang diberikan Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun kepada keluarganya.
Encik Maarof, 86, berkata, dia sangat bersyukur dengan bantuan pembinaan rumah yang diberikan allahyarham Dato’ Sri Johari kepada empat cucunya yang kehilangan ayah.
“Ya Allah tak boleh cakap, suka hati sangat, terima kasih kepada Dato. Kalau tak ada dia, saya rasa tak siap rumah ni, tak tahulah berapa lama lagi. Selama dua tahunlah (tertangguh).
“Bulan puasa baru ni boleh pakai, raya pindah masuk (rumah baharu),” katanya yang mempunyai masalah dalam proses pembinaan rumah milik arwah anaknya di Kampung Hayat di sini.
Encik Maarof turut melahirkan rasa sedih dan terima kasih di atas jasa dan bantuan yang diberikan allahyarham sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di Pelangai.
“Rasa hati tu, terkilan amat. Betul-betul sedih saya rasa. Saya harapkan minta tolong dari dia (allahyarham) tapi nak buat macam mana umur dia dah sampai.
“Saya berdoa betul pada Allah untuk arwah Dato’ ni. Bila dah tak ada dia ni, tak boleh cakap, cerita. Banyak betul jasa dia yang saya terima. Jalan depan rumah ni pun dia tolong (tar). Allah SWT dah janji tempat dia baik,” katanya.
Menurut menantu Encik Maarof, allahyarham Dato’ Sri Johari telah mendahulukan duit beliau bagi memastikan pembinaan rumah tersebut dapat disegerakan.
“Memang terasalah dia pergi tu. Budak-budak ni (anak) anak yatim, jadi selalu dapat bantuan, kalau dia datang mesti hulur duit dekat budak-budak,” kongsinya. – PAHANGMEDIA

