Oleh: Farahin Rosli
PEKAN, 16 SEPTEMBER 2023: Pejabat Daerah dan Tanah Pekan telah meletakkan sasaran berjumlah RM52.26 juta kutipan cukai hasil tanah bagi tahun ini.
Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli berkata, sehingga kini pihaknya telah berjaya mengutip hasil tanah berjumlah RM37.73 juta.
“Untuk program hari ini, pihak kami menyasarkan kutipan berjumlah RM2.83 juta dan setakat pukul 2 petang tadi, jumlah (cukai) yang berjaya diperoleh ialah RM1.81 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Malaysia dan Karnival Tanah Pahang Peringkat Daerah Pekan 2023 bertempat di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pendaftaran) Tanah dan Galian Negeri Pahang, Puan Nor Rafidah Saiman dan Pegawai Tadbir Jabatan Penilaian Majlis Daerah Pekan, Encik Mohd Azuan Othman.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kadar tunggakan cukai di daerah itu berada pada tahap yang rendah.
“Dari segi tahap kesedaran pembayar cukai daerah ini, saya dapati para pembayar cukai amat bertanggungjawab dan kesedaran tinggi, justeru saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang telah laksanakan tanggungjawab pada hari ini,” katanya.
Daerah Pekan merupakan lokasi yang ke enam bagi siri jelajah Karnival Tanah Negeri Pahang 2023. – PAHANGMEDIA

