PUTRAJAYA, 12 SEPTEMBER 2023 : Bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy kekal bebas daripada tuduhan meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin selepas mendapati, pihak pendakwaan gagal mengikut masa yang ditetapkan untuk memfailkan notis rayuan dan dianggap luput serta terbatal.
Tarikh akhir bagi pendakwaan memfailkan petisyen rayuan ialah dalam tempoh 14 hari selepas rekod rayuan diperoleh, iaitu pada 6 Julai lalu.
Terdahulu ketika membaca keputusan, Hadhariah berkata, berdasarkan kronologi, mahkamah sebelum ini menetapkan tiga pengurusan kes iaitu pada 21 Julai, 28 dan 30 Ogos lalu.
Pada masa sama, perayu (pendakwaan) telah diberi arahan untuk memfailkan petisyen rayuan namun mereka gagal untuk mematuhi arahan mahkamah.
Semasa prosiding, Dato’ Sri Najib diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sementara peguam, Datuk N.Sivananthan bertindak bagi pihak Arul Kanda yang mana kedua-duanya selaku responden.
Sementara pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim.
Sementara itu, Firma guaman Tetuan Shafee & Co dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan dalam kes pindaan Laporan Pengauditan Akhir 1MDB dalam tempoh masa menunjukkan ia tiada alasan kukuh untuk meneruskannya.
Katanya, ia menyebabkan Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membatalkan kedua-dua notis rayuan pendakwaan terhadap Dato’ Sri Najib dan Arul Kanda.
Kenyataan itu berkata, perkara terbabit menunjukkan, khususnya apabila pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan dengan rayuan, keputusan Mahkamah Tinggi (yang melepas dan membebaskan tertuduh) adalah keputusan yang teguh dan tidak boleh disangsi mana-mana pihak.
“Oleh kerana terdapat bukti kukuh yang dikemukakan ketika perbicaraan dalam mahkamah, sememangnya sebarang pertuduhan tidak sepatutnya dikenakan ke atas anak guam kami sejak dari mula lagi.
“Keputusan untuk mendakwa anak guam kami menimbulkan pelbagai kesulitan dan kesukaran kepada mereka selama tempoh lima tahun ini, apatah lagi sekiranya rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan mereka diteruskan.
“Kami sesungguhnya berterima kasih kepada semua pihak yang sejak dari awal sehingga kini masih tidak berputus-asa memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan dan berharap keputusan ini akan membenarkan kedua anak guam meneruskan kehidupan mereka bebas daripada sebarang pertuduhan yang tidak berasas,” katanya. – PAHANGMEDIA

