Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 12 SEPTEMBER 2023 : Barisan Nasional (BN) Pahang akan mempertimbangkan calon menggunakan konsep ‘WALI’ bagi memilih calon bagi mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, tidak lama lagi.
Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya kini sedang mempertimbangkan empat lagi calon sebelum berbincang dengan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Calon masih lagi…dari enam dah tinggal empat, masih lagi diperhalusi, saya akan bincang dengan presiden parti sebelum dimuktamadkan, kita akan umumkan sebelum 23 hari bulan.
“Kita cari calon yang terbaiklah, kriterianya banyaklah, antaranya WALI lah, ‘winnable, ‘applicable’ dan ‘likeable’, calon yang boleh menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bantuan Prihatin Pahang 2023 Kluster Siswa Insentif Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul di Bentong.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pihaknya akan mengumumkan nama calon Barisan Nasional bagi mengisi kerusi DUN Pelangai sebelum 23 September depan. – PAHANGMEDIA

