Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 OKTOBER 2026 : Khidmat kepada rakyat tidak berakhir selepas tamat tempoh sebagai wakil rakyat apabila Kerajaan Negeri Pahang terus menziarahi dan menyantuni bekas ADUN menerusi Program Ziarah Kasih, termasuk mengambil perhatian terhadap keadaan serta kebajikan mereka.
Bekas ADUN Tanjung Lumpur, YH Dato’ Wan Adnan Wan Mamat berkata, inisiatif berkenaan amat bermakna apabila YB Speaker Dewan Negeri Pahang sendiri turun padang menziarahi bekas wakil rakyat dan melihat keadaan kehidupan mereka secara dekat.
Beliau berkata, usaha tersebut membolehkan kepimpinan negeri mengetahui keadaan sebenar kehidupan bekas wakil rakyat yang mempunyai latar belakang berbeza selepas tamat perkhidmatan, termasuk mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Saya ucapkan tahniah kepada YB Speaker Kerajaan Negeri yang buat inisiatif ini untuk melawat semua wakil-wakil rakyat yang telah pencen. Terima kasih kepada Menteri Besar juga kerana telah memberi sumbangan kepada semua bekas-bekas wakil rakyat dan mengambil perhatian yang penuh,” katanya.
Menurutnya, terdapat bekas wakil rakyat yang kehidupannya selesa, namun ada juga yang berdepan keadaan berbeza dan memerlukan perhatian, sekali gus menunjukkan pentingnya usaha menziarahi serta menyantuni mereka berdasarkan keadaan sebenar.
Katanya, persepsi masyarakat bahawa bekas wakil rakyat sentiasa berada dalam keadaan selesa tidak semestinya tepat kerana mereka sebelum ini telah mencurahkan khidmat kepada rakyat dalam pelbagai peringkat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Raub yang juga bekas ADUN Tras, YB Tuan Chow Yu Hui berkata, beliau amat menghargai kunjungan berkenaan kerana ia memperlihatkan YB Speaker dan Menteri Besar Pahang masih mengingati bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat di negeri ini.
“Saya memang menghargai trip Ziarah Kasih ini kerana MB dan juga Speaker Pahang memang masih ingat kami. Kenangan sangat manis semasa saya jadi ADUN di Pahang dan ini effort dan juga inisiatif, boleh nampak Speaker dan MB Pahang memang menghargai apa yang kami pernah sumbang di Pahang,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan sudah cukup baik kerana perkara paling penting adalah penghargaan yang diberikan terhadap bekas ADUN atas khidmat dan sumbangan mereka kepada negeri.
“Ini paling penting. Yang ini saya rasa kami akan ingat dan kami akan rasa dihargai dan menghargai mereka, especially YB Speaker dan juga MB punya usaha,” katanya.
Bekas ADUN Tanah Rata, Tuan Chiong Yoke Kong pula berkata, pengalaman sepanjang berkhidmat di Dewan Negeri Pahang banyak memberi ilmu dan kemahiran asas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih pada YB Speaker dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebab untuk lawatan ini juga. Saya juga terima kasih sebab sepanjang tempoh perkhidmatan saya di Dewan Undangan Negeri Pahang ini memang saya banyak belajar dan banyak memberi saya pengalaman,” katanya.
Beliau turut menyifatkan hubungan yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai sesuatu yang amat bermakna dan berharap kunjungan seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
Program Ziarah Kasih itu sekali gus menjadi ruang mengimbau kembali pengalaman dan jasa bekas wakil rakyat, di samping mengekalkan hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri dengan mereka yang pernah mencurahkan khidmat kepada rakyat Pahang. -PAHANGMEDIA

